Monday, 2 July 2012

Sahabatku..

Assalamualakum..
Hari ini ana rasa sedih sekali kerana terpaksa menjalani saat-saat yang amat perit rasanya di sekolah. Panjang ceritanya. Mujur ana mempunyai sahabat-sahabat yang lain membantu ana menjalani hari ini. Syukran jazilan. Hanya Allah sahaja yang boleh membalas kebaikan kalian. Hal ini semua berpunca dari seorang makhluk Allah. Maafkan ana jika seolah-olah ana menyalahkannya tetapi itulah hakikatnya.

Gara-gara dia, silaturrahim ana dengan sahabat ana yang ana cintai lillahi taala sudah renggang. Ana terkilan kerana sahabat ana seperti sudah tidak mahu berbicara dengan ana. Setiap pagi sudah jadi kebiasaannya untuk senyum dan memberi salam kepada ana apabila ana tiba di sekolah. Tetapi semenjak dua menjak ini semuanya jadi berlainan. Dia tidak lagi memberi salam kepada ana seperti biasanya. Dan ana merasakan dia seolah-olah dia tidak mengendahkan kehadiran ana. Ana ingin sekali bertanyakan hal ini kepadanya. Bertanyakan kenapa dia melakukan semua ini, tapi menurut ana biarlah dia sendiri yang menceritakannya sendiri. Ana tidak mahu memaksanya. Di sekolah, walaupun kami duduk bersebelahan tetapi seolah-olah ada sebuah tembok besar yang memisahkan kami. Ana masih keliru kenapa hal ini boleh terjadi sedangkan ketika kami berbalas mesej, dia tidak menunjukkan sebarang tanda berkecil hati atau marah dengan ana. Ana seolah-olah kehilangan punca dan arah apabila dia berbuat sedemikian.

Begitu perit rasanya apabila tidak diendahkan oleh sahabat yang dulunya begitu rapat dengan ana. Hati ini bagai ditoreh-toreh oleh pisau yang tajam sekali. Perit. Hati ana meraung-raung inginkan perkara ini selesai dengan cara yang baik. Ana sayang dia. Sungguh. Teramat menyayanginya. Masakan tidak, dia juga yang telah menyedarkan ana untuk berubah. Alhamdulillah ana telah terima hidayah daripada Allah untuk berubah. Dan dia jugalah yang memberi semangat dan dorongan supaya ana lebih kuat dan tabah untuk perubahan menuju ke jalan yang diredhai Allah. Ana begitu menyayanginya seperti ana sayang adik ana sendiri..

Ya Allah,
berikanlah hamba-Mu ini kekuatan untuk menempuh segala cubaan yang Engkau berikan ini, Ya Allah. Aku tahu Engkau tidak akan memberi cubaan kepada hamba-Mu jika dia tidak mampu. Oleh itu kuatkanlah hati dan iman hamba-Mu ini agar sentiasa berprasangka baik dengan apa yang menimpa hamba, Ya Allah. Kau kuatkanlah tali persaudaraan, silaturrahim antara aku dan juga sahabatku Ya Allah. Janganlah Engkau biarkan hubungan kami putus kerana masalah ini Ya Allah. Janganlah Engkau membiarkan syaitan berjaya memutuskan tali persahabatan aku dengan dia yang terbina kerana kecintaan kepada-Mu Ya Allah. Engkau tolonglah hamba menyelesaikan masalah ini dengan cara-Mu yang terbaik. Sesungguhnya Engkaulah Yang Maha Mengasihani dan Maha Bijaksana.

Kepada sahabat ana yang ana cintai kerana Allah,
Ana begitu bersyukur kerana ana mendapat seorang sahabat yang mampu membimbing ana ke jalan yang benar. Membimbing ana ke siratulmustqim. Anti selalu menasihati ana andai ana melakukan kesilapan. Ana masih ingat dulu kita selalu berkongsi masalah bersama-sama. Pemikiran kita juga tidak jauh bezanya. Susah senang kita selalu hadapinya bersama. Anti juga telah banyak membantu ana untuk lebih menjadi seorang muslimah yang baik di sisi Allah. Kita selalu bergurau bersama dengan rakan-rakan yang lain. Jujur, kehadiran anti telah membawa nur ke dalam hidup ana. Ana tidak tahu bagaimana lagi ana harus mengungkapkan rasa sayang ana pada anti. Begitu besar jasa anti dalam hidup ana. Ana begitu terhutang budi dengan anti. Tapi kenapa? Kenapa anti sudah semakin jauh dengan ana? Kenapa anti seolah-olah ingin menghindar dari ana? Apa salah ana pada anti? Kenapa anti? Kenapa semuanya harus jadi begini? Ana rindukan saat kita gembira bersama-sama. Ana rindukan senyuman iklhas anti pada ana. Ana rindukan nasihat anti pada ana. Sekarang ini ana tidak merasakan apa-apa selain kosong. Ana perlukan penjelasan. Adakah sikap anti pada ana sekarang ada kaitannya dengan hamba Allah itu? Jika ya, ana mohon kita selesaikannya dengan cara yang baik. Ana tidak sanggup lagi berkecil hati dengan sahabat ana kerana masalah yang melibatkan kaum Adam. Sungguh ana sudah pernah merasakan peritnya bermasam muka dengan rakan yang lain kerana hal seperti ini. Ana sudah melakukan kesilapan itu dulu dan ana tak mahu mengulanginya lagi. Ana tidak mahu hanya kerana masalah seperti ini, menggugat persahabatan kita. Ana tidak sanggup lagi. Tiap-tiap hari ana rasa seperti sedang menganiayi anti dan diri ana sendiri. Ana sudah tidak sanggup mendengar pertanyaan dari rakan-rakan yang lain mengenai kerenggangan hubungan kita sekarang. Setiap kali pertanyaan itu diajukan, hati ana meraung. Jadi, ana harap sangat anti akan membuka pintu hati anti untuk berbincang masalah ini bersama agar cepat kita temukan penyelesaiannya. Semoga hubungan silaturrahim kita tidak akan pernah putus sehingga akhir hayat...

No comments:

Post a Comment