Janganlah Kau bebankan kepada kami beban yang berat sebagaimana telah Kau bebankan kepada orang sebelum kami.
Ya ALLAH...
Janganlah Kau pikulkan kepada kami apa yang tidak sanggup kami memikulnya.
Ampunilah kami dan rahmatilah kami. Engkaulah Penolong kami, maka tolonglah kami...
Surah Al-Baqarah: 286
Ujian, bahasanya bisu. Hadirnya tidak terduga. Ada kala ujian itu bertandang untuk membersihkan dosa. Ada kala untuk mengajak kita bertanya, apakah diri sudah terlupa. Ya... terlupa siapakah kita di sisi-NYA. Terlupa dari mana datangnya dan ke mana pula hala hidup kita? Terlupa kita sebenarnya tidak punya apa-apa. Apakah masih ingin menderhaka pada-NYA?
Jangan jadikan pandangan mata ini
seperti mata lalat
yang hanya mencari sesuatu
yang busuk dan buruk
yakni yang hanya melihat keburukan
dan kesalahan orang lain
Jadikanlah pandangan mata ini
seperti mata lebah
yang hanya memandang kewangian
dan keindahan
yakni yang memandang kebaikan orang lain
sehingga melupakan
keburukan orang lain...
"Boleh jadi kamu membenci sesuatu padahal ia amat baik bagimu. Boleh jadi pula kamu menyukai sesuatu padahal ia amat buruk bagimu."
Surah Al-Baqarah: 216
Jiwa seorang hamba tidak pernah terlepas daripada ujian. Berbeza diri seseorang, berbeza pula ujian yang dihadapi. Ada orang yang diuji pada harta mereka. Ada pula yang diuji pada tubuh badan. Sama ada ujian itu berbentuk kesusahan atau kesenangan, semuanya adalah tanda bahawa itulah kasih sayang ILAHI.
Nabi Ayub diuji dengan kesakitan dan kepayahan. Nabi Isa diuji dengan kemiskinan. Nabi Sulaiman dengan kekayaan tetapi mereka tetap bersabar. Begitu juga Nabi Muhammad s.a.w yang diuji dengan pelbagai rintangan ketika berdakwah. Namun, kesabaran mereka begitu luar biasa.
Janji ALLAH adalah pasti. Sebagaimana ALLAH menjanjikan bahawa setiap yang bernyawa akan merasai kematian, sebagaimana ALLAH menjanjikan ada kemudahan selepas kesulitan, begitu juga janji-NYA bahawa setiap mukmin tidak akan hanya dibiarkan berkata mereka telah beriman selagi tidak diuji. Suka atau tidak, pasti ujian itu akan hadir.
Mereka yang sabar pasti dapat menghadapinya. Tidak kurang juga ada yang terkandas dan tergelincir. Ada yang berputus asa, lantas mudah dirasuk perasaan untuk memusnahkan diri. Ada pula yang lebih teruk sehingga menyalahkan ALLAH kerana menurunkan ujian sebegitu.
Sering kali diungkapkan bahawa kesabaran adalah kunci kejayaan. Namun, ujian tidak pernah berhenti. Ada orang yang berjaya bersabar ketika susah tapi terjatuh apabila diuji dengan kesenangan. Ada orang yang berjaya dalam melakukan perintah ALLAH tapi hilang punca ketika diuji dengan musibah. Maka, masihkah ada kesabaran?
ALLAH S.W.T berfirman, "Wahai sekalian orang yang beriman! Mintalah pertolongan (untuk menghadapi susah payah) dalam menyempurnakan sesuatu perintah TUHAN dengan bersabar dan dengan (mengerjakan) sembahyang; kerana sesungguhnya ALLAH menyertai (menolong) orang yang sabar."
-Surah Al-Baqarah: 153
Malah, ALLAH sendiri memuji perkataan sabar dengan menyatakan bahawa kesabaran itu adalah cantik. Lebih menarik, al-Quran juga merakamkan kepada kita kisah-kisah kesabaran para Nabi dan Rasul dalam menghadapi pelbagai ujian sehingga digelar sebagai Ulul Azmi, iaitu yang banyak sekali ujiannya.
Begitu juga ALLAH S.W.T letakkan kepada kita kesabaran yang tinggi, diuji dengan pelbagai dugaan. Kita perlu faham bahawa ujian ini bukan setakat berbentuk kesusahan dan musibah. Ujian ALLAH S.W.T datang dalam pelbagai bentuk. Semua itu adalah tanda kasih dan sayang ALLAH kepada hamba-NYA.
Hidup ini sememangnya dipenuhi ujian. Itulah hakikat yang tidak pernah dapat kita pisahkan. Di sebalik berbezanya manusia, berbeza ujiannya, begitu juga berbeza pula cara kita memandang ujian tersebut.
Ya, di sinilah warnanya hidup ini. Setiap perbezaan dalam menerima ujian itulah yang mewarnai kehidupan di dunia. Bukan setiap masa kita diuji dengan kesusahan. Bukan juga setiap masa kita diuji dengan kesenangan. Bahkan ada masa dan ketikanya, kita tidak pernah menjangka akan berlaku ujian sebegitu rupa. Ada kala kita sendiri mungkin terlupa bahawa diri sedang diuji.
Ketika diri diuji, kita tertanya-tanya, mengapa perlu diuji? Mengapa ketika orang lain senang, kaya dan bahagia, kita pula yang berdukacita. Ketika kejujuran yang dipersembahkan, kita pula menjadi mangsa dek kesilapan orang lain. Mereka berbahagia, bergelak ketawa sedangkan kita pula berduka lara dan berlinangan air mata. Apakah itu tanda bahawa ALLAH tidak sayangkan kita?
Hakikatnya, dunia tidak pernah sunyi dengan mereka yang bermandi air mata dalam menghadapi ujian. Perit, jerih dan pedih terpaksa dikesampingkan malah terus gagah melayari kehidupan walau diri dihimpit ujian. Kekuatan diri itu pasti berpunca daripada keyakinan bahawa ALLAH tidak pernah meminggirkan kesabaran setiap hamba-NYA. Ujian yang dilalui bukanlah sia-sia.
Itulah janji ALLAH. DIA tidak akan menguji hamba-NYA dengan sia-sia. Sama ada ujian itu berbentuk kesusahan, kesenangan, musibah atau kesakitan, ALLAH lebih mengetahui mengapa kita diuji. Malah, Allah menegaskan agar jangan mengharap kepada syurga selagi belum diuji. Ujian itu boleh jadi berbentuk kelaparan dan kesusahan. Tidak kurang juga berbentuk kesenangan. Matlamatnya? Agar ALLAH tahu siapakah dalam kalangan hamba-NYA yang paling terbaik amalan.
Benar. ALLAH tidak sebut siapa yang paling banyak amalannya. Tapi, ALLAH menyebut siapakah yang paling terbaik amalannya. Apabila disebut sahaja iman, ALLAH pasti akan menguji kita. Oleh kerana itu, ALLAH berpesan, jika belum datang ujian, janganlah menyangka bahawa kita ini ahli syurga. Di sinilah, kita memerlukan kepada kesabaran.
No comments:
Post a Comment