Sunday, 1 July 2012

Cemburu? Patut atau Tidak?

Assalamualaikum semua..

Pernah atau tidak anda mempunyai rasa cemburu?

Jika sesiapa yang menjawab tidak pernah, kemungkinan besar dia sedang membohongi dirinya sendiri.


Manusia sekarang terutamanya, pasti akan mempunyai perasaan cemburu itu walaupun hanya muncul sekelumit di dalam hati. Anak-anak kecil akan cemburu jika kawannya ada mainan yang baru. Remaja akan cemburu jika kawannya lebih disenangi. Isteri akan cemburu apabila melihat suaminya dengan orang lain. Semuanya pasti akan mempunyai perasaan cemburu.

TETAPI ADAKAH KITA MAMPU MENGAWAL CEMBURU ITU DAN MENCEGAHNYA DARI MENGAWAL DIRI KITA???


Di sini ana akan memfokuskan pembicaraan ana tentang perasaan cemburu dalam kalangan remaja kerana hal ini lebih dekat dengan diri kita sebagai remaja.

Semakin kita meningkat dewasa, hati kita akan mudah tersentuh. Walaupun kita cuba menyembunyikan perasaan itu, hakikatnya perasaan itu tetap ada. Kita sebagai remaja pasti akan ada rasa cemburu pada kawan. Kita pasti rasa sakit hati apabila kawan kita mendapat lebih perhatian di sekolah. Kita akan sakit hati jika kawan kita disukai oleh guru-guru sedangkan kita tidak. Kita pasti akan rasa sakit hati jika kawan kita lebih diminati di sekolah. Ana mengaku kadang-kadang ana juga merasakan begitu. Tetapi kita sebagai manusia, yang fitrahnya berbeza dengan makhluk yang lain kerana mempunyai akal harus berfikir. Kita harus bijak menggunakan kurniaan itu. Ana sentiasa akan berfikir, wajarkah ana berprasangka seperti itu? Wajarkah ana cemburukan sahabat ana. Walaupun sahabat itu adalah sahabat ana yang paling ana sayang?


Oleh itu, setiap masalah yang melanda diri kita, seharusnya kita kembali semula kepada Allah Yang Maha Esa. Ana bersyukur walaupun ana cemburu dengan sabahat ana kerana dia lebih disenangi orang lain, dia lebih cemerlang pelajarannya berbanding diri ana yang kerdil ini, ana teguhkan hati ana dengan sentiasa mengingati Allah. Ingatlah bahawa setiap makhluk yang dijadikan di atas muka bumi ini mempunyai keistimewaannya masing-masing. Alhamdulillah ana menyedari perkara ini sebelum hati ana semakin dikotori oleh sifat cemburu yang melampau.

Para pembaca sekalian,
walaupun di luar kita tegar dan kuat, tetapi dalam hati kita akan merintih juga. Pada pendapat ana tidak salah jika kita mempunyai sifat cemburu itu. Walau bagaimanapun, kita harus bijak dalam mengendalikan perasaan kita. Jangan biarkan nafsu yang menjajah pemikiran kita. Seharusnya sebagai seorang hamba Allah yang bijak, kita jadikan perasaan cemburu itu sebagai wadah untuk kita lebih berjaya dan cemerlang di masa hadapan. Jika kita cemburu melihat rakan kita yang lain berjaya, kita patut lebih berusaha gigih untuk berjaya. Jika kita cemburu melihat rakan kita lebih disenangi orang lain, kita seharusnya merenung kembali kelemahan diri kita dan memperbetulkannya.

Akhir sekali,
para pembaca sekalian ingatlah, kawal cemburumu itu. Jangan terlalu mengikutkan perasaan cemburu kerana sesungguhnya perasaan cemburu itu adalah hasutan syaitan.
Marilah kita sama-sama berdoa agar hati kita sentiasa terpelihara daripada perasaan yang akhirnya akan memudaratkan diri kita sendiri...

Wallahualam

No comments:

Post a Comment